19 September 2011

hadis larangan simpan kuku/cara potong kuku

Adab memotong kuku
RASULULLAH S.A.W BERSABDA: YANG ERTINYA: Barang siapa yang mengerat kukunya pada :
* Hari Sabtu :Nescaya keluar dari dalam tubuhnya ubat dan masuk kepadanya penyakit
* Hari Ahad :Nescaya keluar daripadanya kekayaan dan masuk kemiskinan
* Hari Isnin :Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk sihat
* Hari Selasa :Nescaya keluar daripadanya sihat dan masuk penyakit
* Hari Rabu :Nescaya keluar daripadanya was-was dan masuk kepadanya kepapaan.
* Hari Khamis :Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk kepadanya sembuh dari penyakit.
* Hari Jumaat :Nescaya keluar dosa-dosanya seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya dan masuk kepadanya rahmat daripada Allah Taala.

Dikatakan bahawa menyimpan sebatang jari kuku yang panjang, dosanya sama seperti memelihara sekandang babi , jika kesemua jejari kita menyimpan kuku yang panjag.... bayangkanlah dosa yang telah kita tanggung untuk kesemua babi-babi tersebut.... potonglah kuku anda….. [seperti yang di dalam soalan]

Di sini, ada hadis yang disebutkan secara terperinci namun apabila diteruskan dengan menyebut: “Dikatakan bahawa menyimpan sebatang jari kuku…”, penulisnya masih juga tidak menyebutkan hadis sandarannya.

Untuk pengetahuan, hadis yang disebutkan di atas tentang hari-hari memotong kuku adalah hadis palsu. Dan terjemahannya juga terbalik (contoh: sepatutnya keluar penyakit dan masuk sihat)! Hadis ini telah dimuatkan di dalam kitab al-Mawdu’aat (kitab hadis-hadis palsu) oleh Ibn al-Jawzi (508 – 597h), mukasurat 53; dan boleh didapati dalam kitab-kitab lain yang mengumpul hadis-hadis palsu.

Menurut Imam ash-Shawkani: Berkata as-Sakhawi (831-902h) dalam kitabnya al-Maqasid (iaitu kitab al-Maqasid al-Hasanah fi bayan kathir min al-ahadith al-musytaharah ‘alaa al-alsinah yang bermaksud: Maksud baik dalam menerangkan banyak hadis-hadis yang masyhur diperkatakan orang ramai): Tidak ada langsung hadis daripada nabi yang thabit (sahih) mengenai cara memotong kuku dan mengkhususkan hari tertentu untuk (melakukan)nya, dan yang disebutkan dalam syair tentang Ali adalah batil. Contohnya: hadis yang berbunyi: Nabi biasanya memotong kuku dan menggunting misai pada hari Jumaat sebelum pergi ke solat,”[Riwayat at-Tabarani] dan lain-lain semuanya samada lemah atau palsu.

Dan as-Subki pula mengumpul hadis-hadis yang tiada asalnya (maka ianya tidak boleh dijadikan sandaran!) di dalam kitab Ihya Ulumuddin oleh Imam al-Ghazali, menyebut hadis berikut tentang kuku: Wahai Abu Hurairah! Potonglah kuku-kuku kamu kerana syaitan duduk di kuku yang panjang di antaranya.”

Walaubagaimanapun, tentang kuku, disebutkan di dalam hadis yang sahih: Lima perkara adalah daripada fitrah: iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.”
[Sahih – riwayat al-Bayhaqi]

Di dalam hadis lain pula daripada Anas: Nabi telah memberikan jangkamasa untuk menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar tidak meninggalkannya lebih daripada 40 hari.”
[Sahih Muslim]

Imam Nawawi menerangkan di dalam al-Majmu’ Sharah al-Muhazzab bahawa cara memotong kuku yang disebutkan Imam al-Ghazali bermula dengan jari telunjuk kanan sehinggalah kelingking kanan kemudian kelingking kiri sehinggalah ibujari kiri kemudian baru ibujari kanan adalah tidak betul, elok disempurnakan dahulu tangan kanan baru tangan kiri, dan hadis sandarannya adalah batil, tiada asalnya. Jari-jari kaki juga begitu, bermula dengan yang paling kanan ke paling kiri. Dan berkenaan dengan jangkamasa untuk memotong kuku ianya bergantung kepada panjangnya, maka ianya berbeza-beza menurut keadaan dan orangnya. Dan hadis jangkamasa itu tidak bermakna menyuruh kita tinggalkan selama 40 hari baru dipotong, tetapi maksudnya, sekiranya terlambat pun jangan melebihi 40 hari tanpa memotongnya. Dan disukai memotong kuku pada hari Jumaat. Perlu diterangkan di sini bahawa pendapat mengenai eloknya memotong kuku pada hari Jumaat dan bermula dengan tangan kanan tidak berasaskan hadis nabi, kerana semuanya didapati lemah oleh ulama hadis. Namun ada riwayat yang sahih daripada Nafi’ yang berkata: Biasanya Ibn Umar (RA) memotong kukunya dan menggunting misainya pada hari Jumaat. [Riwayat al-Bayhaqi]. Maka sekurang-kurangnya amalan memotong kuku pada hari Jumaat pernah diamalkan seorang sahabat nabi. Manakala tatacara memotong kuku juga tiada hadis yang sahih mengenainya, hanya dikatakan elok bermula dengan tangan kanan menurut hadis yang umum daripada Aishah bahawa nabi (SAW) suka memulakan sebelah kanan dalam memakai kasut, menyikat rambut, bersuci dan dalam semula hal. [Sahih al-Bukhari dan Muslim]

http://abukhadeejah.blogspot.com/2009/09/q-memakai-cincin-dan-memotong-kuku.html

No comments:

Post a Comment